Bismilillahhirahmanirahim..
Asslamualaikum w.b.t..
Akhirnya setelah berhari-hari tidak mempunyai masa yang sesuai untuk menulis blog, hari ini berjaya juga dimulakan. Ini kisah hidup saya, seorang wanita biasa yang hidup biasa-biasa yang ingin mengubah hidup kepada hidup luar biasa. In Shaa Allah. Sekarang ini saya bekerja di bidang IT, sudah hampir sembilan tahun. pejam celik pejam celik tidak sedar sudah hampir satu dekad rupanya saya berada di sini. setiap hari jari jemari menari di atas keyboard komputer. Apa perubahan hidup saya semenjak 9 tahun lepas? Jawapannya masih lagi di sini, menghadap monitor dan persekitaran yang sama hari demi hari tahun demi tahun. Sekilas terdetik di minda sesuatu harus dilakukan. Kerjaya ini memang bukan impian dari zaman pengajian tetapi peluang yang datang dan tuntutan hidup memerlukan saya menerima dengan penuh rasa syukur dan keikhlasan. Sebagai siswazah yang baru tamat pengajian istilah memilih kerja tidak harus ada dalam hidup. Setiap perkara yang berlaku merupakan pengalaman yang mahal. Kita tidak seharusnya meletakkan syarat dalam apa jua yang kita lakukan selagi tidak melanggar norma hidup atau hukum agama kerana pengalaman yang berbeza akan menambahkan lagi nilai hidup dan juga ilmu pengetahuan dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran ini.
Semenjak kecil saya sudah didedahkan dengan dunia perniagaan. Jujur saya katakan saya tidak lahir di kalangan jutawan, orang kaya mahupun orang berduit. Hidup serba sederhana dengan kedua ibu bapa yang penyayang, adik beradik yang ramai dan juga tuntutan hidup yang tinggi merupakan satu cabaran yang amat hebat. Ibu kesayangan merupakan peniaga di Pasar Kedai Payang dan bapa yang sudah berusia dan kesihatan yang tidak berapa mengizinkan hanya bekerja kampung. . Seawal usia lima tahun saya sudah dibawa oleh ibu tersayang menemaninya berniaga di kedai buah-buahan di pasar terbabit. Di usia sebegini dunia perniagaan merupakan kerjaya pertama yang saya terlibat secara tidak langsung sehinggalah saya menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Minat berniaga membuatkan saya mula mengambil peluang berniaga di sekolah. Masih lagi jelas di ingatan saya gula-gula asam jawa merupakan makanan pertama yang dijual sewaktu di tahun satu. Hasil jualan walaupun sedikit tetapi amat menggembirakan hati seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun. Minat ini bagaimanapun terhenti sehingga darjah lima. Sepanjang 5 tahun itu beraneka jenis makanan ataupun barang yang dijual. Persekitaran dan juga pergaulan dengan rakan-rakan lain membataskan minat tersebut. Ditambah pula dengan aktiviti persekolahan yang semakin padat.
Ibu kesayangan selalu menitipkan pesan, "kita bukan orang kaya sampai bila hendak terbelenggu dengan keadaan ini. Emak tidak mahu anak-anak mewarisi kesusahan ibu dan ayah. Selagi boleh belajar, belajarlah. Capai ILMU setinggi yang boleh. Ilmu boleh merubah hidup kita". Pesan ini diberikan kepada kesemua anak-anaknya seramai tujuh orang. Pesan ibu dan ayah supaya menuntut atau mencari ilmu sentiasa diulang-ulang dan diingatkan saban hari pada anak-anaknya. Malangnya, usia ayah tidak panjang belum sempat anak-anak membalas jasa dia kembali kepada penciptaNya. Hanya keringat abang sulung yang sempat dirasainya. Sewaktu ini masing-masing sibuk mengejar ilmu di sekolah dan Universiti. Sembilan tahun kemudian Ibu kesayangan pula menyusul. Namun ibu sempat berkongsi kesenangan dengan anak-anak kesayangnya. Hari ini , Alhamdulillah lima dari tujuh adik beradik berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Dengan seorang daripadanya sedang menyiapkan Ijazah kedoktoran. Masing-masing juga sudah mempunyai kerjaya sendiri. Dengan ilmu nasib keluarga ini berubah.
Berpegang pada menuntut Ilmu inilah telah berjaya membawa saya ke seminar yang diberikan oleh Dr Azizan Osman. Seorang Mentor pemasaran no 1 di asia. Terima kasih Dr. Azizan. Disini saya akan mulakan kembali minat yang pernah terhenti suatu ketika dulu dengan lebih bersungguh lagi. Beberapa jenis perniagaan pernah saya cuba sepanjang sembilan tahun ini namun belum menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Namun kehadiran saya ke seminar ini telah menyuntik semangat baru dalam diri. Inilah kisah hidup saya. Penuh dengan suka duka, namun amat berharga. Azimat yang tiada tandingangnya. Ilmu, pengalaman dan idea yang saya ada akan digunakan untuk menggerakkan lagi cita-cita saya untuk menjadi usahawan yang berjaya. In Shaa Allah.

Well done!! Saya pun baru berjinak2 buat blog. Walaupun x sempurna lagi tapi pencapaian yang amat besar untuk saya. Now or never!!
BalasPadamTerima kasih Marlina..yup..Fast learning, fast action, fast result...sama2 kita berusaha dan fokus...NEVER SAY NO
BalasPadam